Kat rumah aku ada sekelompok kucing. Sebagai pencinta haiwan, aku alu-alukan kehadiran makhluk yang dimartabatkan unggul ini di zaman Mesir purba.
Cuma yang menyebabkan aku menjadi hati kuman apabila berdepan dengan kucing yang tak jinak. Kucing yang lari entot-entot apabila aku cuba menghampiri mereka. Kenapa? Kenapa ini berlaku?
Justeru, aku menjadi ketuanan manusia. Ketuanan kejam yang mendiskriminasikan makhluk antara homo sapiens dan felis catus. Aku hanya menghulurkan makanan kepada catus-catus yang jinak. Mereka yang pandai membodek. Mereka yang menggesel-geselkan diri mereka di bahagian duli aku.
Tapi entah macam mana di suatu waktu, kepala ikan yang aku luluskan peruntukan untuk kucing yang membodek aku, tidak disantap. Sebaliknya lauk itu digonggong dan dibawanya jauh dari aku ke arah puak kucing yang aku cuba jengkelkan.
Sayup-sayup kucing itu berlari. Jauh dari capaian aku, tapi masih di dalam radius organ optik aku. Dihadiahkan pula lauk itu kepada gerombolan kucing yang tak tahu membodek aku. Aku pula terasa jengkel. Apa ini? Ini..ini.. ini bodoh!
Aku temanggu sendirian. Mustahil kucing-kucing ini pernah menonton Wonderpet.

Tersebutlah kisah apabila berkumpul dua puak di jajahan Kebun Rapek untuk bersidang. Berebut puak Beluncas dan Penyengat siapa yang layak untuk dimahsyurkan sebagai ketua jajahan.
Penyengat berakal waras, mengerti puaknya lebih layak. Fitrah Penyengat itu tidak akan menyengat sebarangan melainkan ancaman dihidu sekitarnya. Berbedalah hukum alam Beluncas yang berotak udang melepaskan bisa hatta tidak terancam pun akan dirinya.
Dek bisa racun si Beluncas, Penyengat mengerah kudrat demi pertahankan hak. Penyengat yang kuat pun menjadi lemah dek sabotaj Beluncas yang mengupah katak-katak menjadi senjata mereka.
Kecewalah puak Penyengat kerana tahu katak itu santapannya Penyengat. Beransur dan berangkatlah suku-sakat Penyengat dari sidang yang ternoda.
Undang-undang kebun yang adil, berganti dengan undang-undang rimba yang zalim.
Sorak ria bertempik akan puak Beluncas. Kebun Rapek kitalah empunya.
Di purnama ke-13, Beluncas lupa. Arakian akan hijrah sekumpulan burung randuk mencari makanan di sana. Berpesta besarlah burung randuk kerana Beluncas itu makanan kegemarannya.
Katak-katak diupah Beluncas, ketawa dalam hati. Esok lusa anak-anak Beluncas menjadi rama-rama, akan kami perisakan lauk gulai tempoyak.

—————————————–
Ni percubaan pertama aku untuk menulis secara satira dengan unsur analogi. Harap kamu dapat memahami mengikut tafsiran masing-masing. Jangan bataskan jawapan kamu. Dan jika kamu memahami maksud aku, aku sangat2 menghargainya.
Penabur Semasa