Sebelum menutup tirai taqwim 2008, neorackle.com melakukan analisis mengenai peristiwa dan kejadian yang memberi impak kepada landskap sosial, ekonomi dan politik tanah air sepanjang tahun 2008. Dengan kerjasama daripada Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), artikel ini diluluskan berdasarkan kajian yang telah dilakukan.
Berikut adalah 10 peristiwa paling hangat sepanjang 2008 di Malaysia.
10. Nahas Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa
Kejadian tanah runtuh yang menyebabkan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama tertimbus. Sehingga artikel ini ditulis, tragedi tersebut telah meragut 4 nyawa. Isu ini telah menjadi igauan ngeri yang berulang semenjak nahas keruntuhan Highland Towers yang tidak dijadikan iktibar oleh pihak berkuasa, pemaju perumahan dan pemilik kediaman.
Peristiwa yang berlaku pada pukul 4 pagi 6 Disember itu berlaku ekoran hujan lebat yang turun tanpa henti yang menyebabkan berlaku pergerakan air bawah tanah yang mengakibatkan struktur tanah tidak stabil.
9. Liwat Lagi
Pengakuan dan laporan polis dibuat oleh Saiful Bukhari Azlan bahawa beliau diliwat oleh majikannya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 26 Julai telah menimbulkan kontroversi. Kejadian yang dikatakan berlaku di sebuah kondominium mewah di Damansara turut menimbulkan tanda tanya sama ada beliau diliwat secara paksa atau rela berikutan perubahan pertuduhan sewaktu perbicaraan di mahkamah dan sekaligus menimbulkan keraguan mengenai dakwaan dikenakan terhadap Dato’ Seri Anwar.
Rentetan isu ini, timbul isu Muhabalah yang disarankan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin sehingga dibawa ke Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan sumpah hanya dilakukan selepas proses perundangan. Saiful Bukhari melakukan sumpah laknat bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan sehari sebelum hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Permatang Pauh.
8. Kehilangan Pulau Batu Puteh
Tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) antara Malaysia dan Singapura semenjak 14 Februari 1980 akhirnya diputuskan oleh panel hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei.
Keputusan 12 panel berbalas 4 itu telah menyebabkan Malaysia hilang kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh dan hanya mendapat Batuan Tengah (Middle Rock) dengan undian sokongan 15-1.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Tan Sri Abdul Kadir Mohamad (Penasihat Perdana Menteri), Datuk Noor Farida Ariffin (Duta Besar Malaysia ke Belanda) dan Tan Sri Abdul Gani Patail (Peguam Negara).
7. Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan
Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah membuat keputusan bahawa amalan yoga secara bersistematik adalah haram di sisi Islam telah menimbulkan konfrantasi apabila bukan sahaja dipertikai oleh segelintir umat Islam, bahkan daripada kalangan bukan Islam dan organisasi bukan kerajaan (NGO) tertentu. Ianya turut menarik perhatian Presiden Kongress India Malaysia (MIC), Datuk Seri S. Samy Vellu untuk mempertikaikan hukum yang dijatuhkan oleh institusi berautoriti Islam tersebut. Serangan terhadap pengharaman yoga secara sistematik menyebabkan campur tangan pihak kerajaan untuk menjelaskan aspek pengharaman secara lebih terperinci. Yoga menjadi haram sekiranya diamalkan bersama-sama unsur kebatinan, spiritual dan mantera serta pemujaan kepada unsur selain Allah SWT.
Sebelum itu, antara perkara lain yang turut diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan ialah isu perbuatan perempuan yang membuat penampilan seperti lelaki atau dikenali sebagai ‘pengkid’. Pengkid dijatuhkan hukuman sebagai haram pada 23 Oktober lalu turut menerima campur tangan daripada penganut bukan Islam.
6. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
Penahanan Raja Petra Kamarudin (RPK), diikuti dengan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng dan yang terakhir ialah ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok di bawah ISA telah menyebabkan iklim politik Malaysia bergegar semula.
RPK, editor blog Malaysia-Today ditahan pada 12 September. Ini adalah penahanan kali kedua dikenakan terhadap RPK. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar meluluskan penahanan RPK di bawah ISA selama 2 tahun berdasarkan artikel RPK yang bertajuk ‘Let’s send the Altantuya murderers to hell’ yang didakwa mengandungi unsur yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan hubungan beragama. Beliau dibebaskan pada 7 November oleh Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad setelah menerima permohonan ‘habeas corpus’ yang dikemukakan pihak peguam bela.
Tan Hoon Cheng pula ditahan kerana laporannya yang dikatakan berunsur hasutan mengenai ucapan pemimpin Umno, Datuk Ahmad Ismail bahawa kaum Cina Malaysia “menumpang” di negara ini. Namun, Tan dibebaskan sehari selepas ditahan di bawah akta tanpa perbicaraan tersebut.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, ditahan kerana disyaki menyokong petisyen penduduk Cina Seksyen 5, Bandar Kinrara, Puchong agar memperlahankan azan dari Masjid Bandar Kinrara. Hal ini dikatakan boleh mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama dan sekaligus memudaratkan keselamatan negara. Teresa dibebaskan pada 19 September, seminggu selepas ditahan. Teresa juga menimbulkan kontroversi mengenai komennya yang menyatakan makanan yang disediakan ketika ditahan ialah seperti makanan anjing.
Rentetan isu terbabit, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim telah meletakkan jawatan beliau selaku Menteri Undang-Undang.
5. Majlis Peguam
Forum awam bertajuk Memeluk Islam yang dianjurkan Majlis Peguam pada 9 Ogos menerima bantahan kerana dilaporkan mencabar hak istimewa orang Melayu dan agama Islam. Forum itu dijangka menyentuh peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai Islam yang menetapkan Mahkamah Tinggi tidak boleh membuat sebarang keputusan melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan umat Islam di negara ini.
Panel penceramah forum tersebut terdiri daripada tiga pengamal undang-undang, Ravi Nekoo, K. Shanmuga dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla. Forum yang dijadualkan berakhir 1.30 petang, tamat pada pukul 10 pagi selepas mendapat bantahan kira-kira 500 hadirin menjelang 9.30 pagi. Tiada sebarang tangkapan dilakukan oleh pihak berkuasa.
4. Pilihan Raya Kecil P44
Dikatakan sebagai ibu segala pilihan raya kecil. Pertarungan yang akan menentukan hidup mati perjalanan politik mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi merebut kerusi yang di kosongkan oleh isterinya merangkap Ketua Pembangkang dan Presiden Parti KeADILan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Pilihan raya kecil ini menimbulkan kontroversi apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memutuskan bahawa tarikh pembuangan undi jatuh pada hari bekerja (26 Ogos). Ramai pihak berpendapat bahawa tujuan tarikh itu dipilih ialah bagi mengurangkan jumlah penduduk keluar mengundi. Namun, kerajaan Pulau Pinang yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat telah mengisytiharkan bahawa 26 Ogos ialah cuti umum bagi negeri Pulau Pinang.
Perlawanan yang pada asalnya disertai oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PKR), Datuk Arif Shah Omar Shah (BN), Hanafi Mamat (AKIM) dan Dr Mansor Othman (Bebas), akhirnya menjadi tiga penjuru apabila Dr Mansor menarik diri dan sekaligus hilang wang pertaruhan.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim menang dengan majoriti besar apabila memperolehi 31,195 undi berbanding Datuk Arif Shah Omar Shah (15,524). Calon AKIM, Hanafi Mamat, hilang wang pertaruhan apabila hanya mampu meraih sebanyak 92 undi sahaja.
3. 16 September
Fenomena yang menjadikan suasana politik dan ekonomi tidak menentu di Malaysia rentetan kenyataan yang menguar-uarkan terdapat ahli parlimen daripada Barisan Nasional yang mahu ‘lompat’ menyertai Pakatan Rakyat bagi membentuk majoriti untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan Malaysia.
Pakatan Rakyat turut menggesa pihak kerajaan Barisan Nasional untuk mengadakan sidang parlimen tergempar agar undi tidak percaya terhadap pentadbiran Perdana Menteri dapat dilakukan namun ditolak oleh Perdana Menteri.
Sehingga ke hari ini, hanya Parti Maju Sabah (SAPP) yang mempunyai dua ahli parlimen telah keluar daripada Barisan Nasional. Walau bagaimana pun, mereka tidak menyertai Pakatan Rakyat.
2. Harga Minyak
Harga minyak melonjak ke paras RM2.70 seliter (petrol) dan RM2.58 (diesel). Kenaikan mendadak sebanyak 78 sen seliter bagi petrol dan RM1 bagi diesel, telah membebankan rakyat dan kerajaan turut menerima kritikan daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta parti-parti pembangkang.
Sebagai meringankan beban, kerajaan memberikan rebet sebanyak RM625 setahun bagi kenderaan kategori tertentu. Rentetan kenaikan harga minyak, telah diadakan satu perhimpunan dinamakan PROTES. Namun perhimpunan ini dikatakan gagal.
Tidak berhenti setakat itu, mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek telah berdebat mengenai kewajaran menurunkan harga minyak anjuran Agenda Daily.
Sehingga ke hari ini, kerajaan Malaysia telah menurunkan harga petrol sebanyak 7 kali berjumlah 90 sen rentetan kemerosotan harga minyak di pasaran global.
1. Pilihan Raya Umum 8 Mac
Menyaksikan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional di 5 negeri dan ianya digelar sebagai Tsunami Politik. Kejayaan gabungan tiga parti pembangkang utama di Malaysia, Parti KeADILan Rakyat (PKR), Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) membentuk gabungan dipanggil Pakatan Rakyat, telah mengambil alih kerajaan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan mengekalkan pentadbiran di negeri Kelantan.
Keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 ini menyaksikan bilangan ahli keluarga terbanyak menjadi ahli parlimen Malaysia. Antaranya gabungan mertua dan menantu (Abdullah-Khairy), ibu dan anak (Azizah-Izzah), bapa dan anak (Kit Siang-Guan Eng & Karpal-Gobind)
Tiga watak utama yang menyebabkan berlaku Tsunami Politik ini ialah Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Sekalung penghargaan diucapkan kepada saudara Hasnul Hanif Harun, Naib Presiden Kebangsaan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) kerana sudi bekerjasama dan meluangkan masa untuk kaji selidik ini. Syukran.