Bercakap soal hiburan tanah air, rupanya ada iras-iras seperti suasana politik negara. Raja Lawak musim ke-3 baru sahaja berakhir dan sudah pun terjawab siapa yang berjaya merangkul gelaran Raja Lawak Astro musim ke-3.

Namun sebelum itu, satu situasi kontroversi telah berlaku apabila salah seorang peserta yang pada mulanya difikirkan tidak layak masuk ke peringkat akhir, tiba-tiba layak. Kalau diikutkan ulasan oleh Pakcik Mohd Sayuti Omar, Amir didapati tidak bersalah, memang benar apa yang dinyatakan. Yang salah ialah pengundi.

Itu ulasan dari segi politik sms. Bagaimana dari segi ekonomi? Politik dan ekonomi memang tidak dapat dipisahkan. Lihat sendiri, tak mustahil pihak yang bertanggungjawab menguruskan hasil sms para pengundi telah mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Ini kerana para pengundi terpaksa bekerja lebih keras dengan menggandakan jumlah undian sms pada peringkat akhir pertandingan tersebut dan semestinya akan menyebabkan pembaziran wang yang lebih besar berlaku semata-mata bagi memastikan peserta yang mereka minati tidak kalah jumlah undiannya seperti yang terjadi pada satu kumpulan yang tercicir kerana tidak cukup jumlah undian bagi membolehkan mereka  ke peringkat akhir walaupun dari segi persembahan mereka sebenarnya lebih layak.

Lihat apa yang berlaku apabila pengundi salah memilih pihak yang sepatutnya layak untuk menerajui sesuatu. Wang terpaksa dibelanjakan lebih daripada yang sepatutnya dan sudah tentulah ada pihak ke-3 mengaut keuntungan yang tidak wajar hasil kelalaian pengundi itu sendiri.

Ini sebenarnya apa yang terjadi dalam realiti kehidupan. Kecuaian para pengundi menunaikan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya dalam percaturan politik, akan menyebabkan para pengundi dihukum dari segi ekonomi.

Moga pada 7 April ini, para pengundi di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai dapat memanfaatkan sepenuhnya kuasa yang diberikan. Undi itu bukan terhad semata-mata untuk memilih pemimpin, bahkan undi tersebut dapat menyekat lebih banyak pembaziran dan korupsi berlaku di masa hadapan.  Janganlah tersilap memilih wakil pemimpin. Kelak akan menjadi bahan jenaka rakyat kerana kita bukan mencari ‘Raja Lawak musim ke-3 suku’.